Labels

Monday, October 7, 2013

Catatan Rehlah Haj (1) 1434H.


Abu Anas Madani: Catatan Rehlah Haj 1434H. (1)

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله الذي جعل الكعبة البيت الحرام مثابة للناس وأمناً، والصلاة والسلام الأتمان الأكملان على خير البرية أجمعين، وخاتم رسله الأكرمين، وعلى آله وصحبه ومن تبعهم إلى يوم الدين، أما بعد.


Alhamdulillah, sekali lagi syukur yang tidak pernah putus dan setingi-tingginya kepada al-Mun’im ‘Azza wa Jalla atas limpah kurnia-Nya memilih hamba-Nya yang haqir lagi faqir kepada keampunan-Nya, sekali lagi untuk mendapat peluang sebagai dhuyuf-Nya bagi tahun 1434H ini. 

Rehlah atau pengembaraan Suci.
Tidak ada satu pun pengembaraan di atas muka bumi ini sebaik menuju ke Baitullah al-Haram. Rehlah yang diberkati iaitu rehlah haji dan umrah.
Setiap jemaah yang telah mendaftarkan diri untuk mengerjakan haji menanti dengan penuh kerinduan dan pengharapan untuk menjadi tetamu Allah swt. Apabila sahaja keputusan telah diterima mereka akan melaksanakan sujud syukur kepada Allah swt seolah-olah mereka telah mendapat anugerah yang besar daripada Allah swt. Bagaikan mereka telah menerima kad jemputan dari Allah swt untuk menziarahi rumah yang paling mulia, negeri yang dicintai oleh Nabi saw, tempat terawal wahyu diturunkan, menjadi kiblat solat umat Islam dan ganjaran pahala solat seratus ribu kali ganda serta pelbagai fadhilat dan kelebihan lagi.
Demikianlah keadaan al-‘abdu al-faqir Abu Anas apabila dijemput untuk bersama dalam kafilah haji Ash-har Travel pada tahun ini, walaupun keuzuran dibahagian lutut yang nampak tidak begitu mengizinkan untuk melaksanakan haji. Tetapi demi untuk menyertai jemaah haji ini, pengorbanan tetap diteruskan.

Maka pada pagi selasa 01 Oktober 2013 bersamaan dengan 25 Zulqa’dah 1434H berangkatlah AAM bersama rombongan dari KB pada jam 11:50 pagi ke KLIA setersnya ke Kelana Jaya – penginapan dan proses keberangkatan macam biasa -. Lihat rehlah tahun sebelumnya:
http://abuanasmadani.blogspot.com/2011/10/catatan-rehlah-haj-1432h-1.html

Pada jam 1:30 pagi Rabu (02/10/2013) terbang dengan KT 57 (SV5217), kapal charter dari Spanish (Pullmantur Air).
Alhamdulillah sampai di KAAIA Jeddah sedang molek azan subuh (4:58am), jadi sempat solat Subuh berjamaah di terminal haji. Setelah itu beratur untuk cop paspot di kaunter imigresen dan ambil barang, dapatkankan tiket bas dan terus ke tempat menunggu jemaah haji Malaysia.
Oleh kerana rombongan Ash-Har ada 56 orang dalam group ini, maka 12 orang kena naik bas lain. Perjalanan begitu lancar dan kami selamat tiba di Makkah, check-in Hotel Al-Zahabi Al-Khalil, Al-Misfalah pada jam 11:30 pagi..
Selepas semua sudah dapat bilik dan makan tengah hari, ada jemaah yang pergi sendiri menyelesaikan ibadat Umrah (Tawaf, Saie, bergunting), ada yang pergi pada waktu Asar dan majoriti jemaah di bawa waktu malam selepas solat Isya’.
Keadaan di Makkah pada masa ini masih tenang, jem tidak begitu teruk, Tetapi yang menjadi kelam-kabut dan serabutnya ialah orang tidak ikut disiplin atau akhlak, selamba duduk di tengah jalan, depan pintu dan pelbagai karenah lagi

Sedikit Maklumat Dari Makkah.

Akibat daripada pembinaan dan pembesaran yang sedang dijalankan di dalam Masjidil Haram, telah berlaku kesesakan yang agak teruk. Ini kerana sebahagian besar daripada kawasan Masjid terutama di tempat tawaf tingkat atas, bermula dari bahagian Hajarul Aswad sehingga ke Rukun Hijir Ismail masih di dalam pembinaan.
Lalu sebagai alternatifnya, orang ramai menjadikan sebahagian besar ruang Sa’ei sebagai tempat solat, menjadikan kawasan ini begitu penuh dan sesak. Laluan untuk masuk ke dalam masjid melalui ruang ini juga telah menjadi agak sukar.
Bagi mereka yang menggunakan kerusi roda juga terpaksa menghadapi kesesakan dan kesukaran.
Untuk naik tawaf ke tingkat atas sahaja Ada ketikanya mereka terpaksa beratur hampir satu jam, dalam barisan yang begitu panjang sehingga ke pintu istana.
Semua ini belum lagi pada waktu kemuncak haji. Jika waktu puncak ibadat nanti, tak dapatlah dibayangkan bagaimana, hanya Allah sahaja yang dapat menolong dan mempermudahkannya.
Jadi sememangnya tindakan Kerajaan Arab Saudi, yang mengurangkan kuota haji bagi tahun ini sebanyak 20% adalah sesuatu yang wajar dan perlu. Ianya amat penting untuk kebajikan para jemaah haji dan keselesaan mereka sendiri.
Diharap para jemaah haji pada tahun ini dapat bersabar dan bertimbang rasa menghadapi semua keadaan ini, demi maslahah dan kebaikan bagi masa depan, insya’Allah.

Rahsia Haji Yang Terabai.
Memahami rahsia dan hikmah ibadat haji adalah merupakan manfaat yang besar dan sangat tinggi nilainya. Allah swt telah mendahulukan sebutan menyaksikan manfaat bagi orang yang mengerjakan haji sebelum menyebut nama Allah swt sebagaimana dalam firman-Nya:
لِّيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
Maksudnya: {Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka, serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana kurniaan-Nya kepada mereka dengan bintang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.} [Surat al-Haj: Ayat 28].

Apabila manusia jahil atau tidak mengetahui hikmah rahsia sesuatu amalan yang besar, ia akan menyebabkan amalan itu dipandang kecil kerana mereka akan menunaikannya tanpa ruh dan melakukan tidak mengikut kehendak Allah yang mensyariatkan amalan tersebut. Maka apabila manusia meninggalkannya tiadalah mereka mendapat faedah dari ibadat tersebut kecuali sangat sedikit.
Kesan daripada itu, sebagaian besar dari jemaah haji yang kembali dari menunaikan haji hanya membawa balik riwayat-riwayat cerita sahaja, tetapi tidak membawa kesan dari haji yang dilaksanakan. Contohnya dalam penjagaan solat, menutup aurat, meninggalkan riba dan rasuah dan lain-lain pelanggaran arahan Syara’.
Bagi penduduk Makkah pula, sebahagian mereka menganggap ahli jemaah haji yang datang hanyalah rezeki semata-mata daripada Allah dan dengan itu menyebabkan sebahagian penduduk Makkah merasakan jemaah haji yang datang ini tidak perlu diberi layanan istimewa menjadi tetamu Allah. Maka bumi yang berkat ini menjadi seakan-akan bumi perniagaan semata tanpa ruh ibadat haji yang sebenar.
Akan bersambung....

Akhukum, Abu Anas Madani,
Makkah. Al-Misfalah, 29/11/1434H – 05-10-2013.